Pasukan Kuiz Sains Nasional 1991

Pasukan Kuiz Sains Nasional Sekolah Tinggi Melaka berjaya menjadi johan dalam pertandingan yang melibatkan 137 buah sekolah menengah di seluruh Malaysia. Pertandingan peringkat awal dalam bentuk ujian bertulis telah dijalankan di Sekolah Tinggi Melaka pada 6 April 1991 bagi memilih wakil sekolah-sekolah menengah negeri Melaka ke pertandingan separuh akhir Peringkat Zon Selatan yang telah diadakan pada 18 Jun 1991 di Dewan Sekolah Menengah Kluang, Johor. Dalam pertandingan tersebut, Sekolah Tinggi Melaka telah muncul sebagai juara Zon Selatan dan dipilih mewakili Zon Selatan di pertandingan peringkat akhir. Pasukan kita telah memperolehi 35 mata dan mengalahkan pasukan-pasukan dari Sekolah Menengah Sungai Besar, Selangor (9 mata), Sekolah Menengah Kluang (10 mata), dan Sekolah King George V, Negeri Sembilan (6 mata).

Di dalam peringkat akhir, iaitu peringkat Kebangsaan yang telah diadakan pada 13 Ogos 1991 di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa Cheras, pasukan sekali lagi muncul sebagai juara. Pasukan kita berjaya memungut 41 mata berbanding Victoria Institution, Kuala Lumpur, wakil Zon Timur (24 mata), Sekolah Menengah Bukit Mertajam, Pulau Pinang, wakil Zon Utara (21 mata) dan Sekolah Menengah Green Road, Kuching, Sarawak, wakil Sabah dan Sarawak (16 mata). Dalam pertandingan peringkat akhir juga, KY Tay telah berjaya memenangi anugerah peserta terbaik Kuiz.

Prestasi pasukan kuiz Sekolah Tinggi Melaka pada tahun itu amat memberangsangkan. Ini merupakan hasil daripada kerjasama erat ahli-ahli pasukan, bimbingan guru-guru dan sokongan para pelajar. Akhir kata, selaku ketua pasukan, saya bagi pihak pasukan Kuiz ingin mengucapkan terima kasih kepada guru penasihat, Encik CL Tan dan juga guru-guru yang terlibat secara langsung atau tidak yang membolehkan pasukan Kuiz mencapai kejayaan cemerlang itu. Moga-moga, pasukan pada masa akan datang mampu mempertahankan rekod itu.

Ketua Pasukan Kuiz Sains Nasional 1991
Piala Pusingan Perdana Menteri
AY Chong

Wakil
AY Chong
KY Tay
Haslinah

Comments

Popular Posts