Pelayaran Anak Didik Sekolah Tinggi Melaka
Pada 27hb. Februari 1991, Sekolah Tinggi Melaka telah menghantar 2 orang pelajar ke Program Belia Pelajaran Tunas Samudera. Pelajar-pelajar tersebut ialah:-
* S M bin Othman - Tingkatan 6 Atas Sains Delta
* M J bin Jaafar - Tingkatan 5 Sains Delta
Program latihan ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Belia dan Sukan dengan bantuan Tentera Laut DiRaja Malaysia. Program ini bertujuan memberi peluang serta pendedahan kepada para belia dan pelajar terhadap ilmu pelayaran, menguji ketahanan diri serta memupuk semangat kepimpinan.
Pelayaran Tunas Samudera ke-5 bagi tahun 1991 ini bermula di Pangkalan Tentera Laut Lumut. Kami berlayar di atas Kapal DiRaja Tunas Samudera dengan tujuan pertama pelayaran ke Pulau Pinang untuk latihan asas cara-cara mengendalikan 7 layar kapal jenis 'Brigar Tine' ini, sebelum pelayaran panjang ke Woodland, Singapura. Seramai sembilan belas belia dan beliawanis yang menyertai pelayaran ke-5 ini yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Maktab Tentera DiRaja, MRSM Jasin, Persatuan Belia dari negeri Johor, guru-guru pelatih dan belia-belia negeri Johor.
Sebelum pelayaran bermula, kami dibekalkan dengan alat-alat kelengkapan seperti pakaian seragam dan diberi taklimat ringkas tentang penginapan dan undang-undang di atas kapal oleh pegawai pemerintah. Majlis dirasmikan kemudian yang turut dihadiri oleh beberapa kakitangan atasan Jabatan Pendidikan.
Kami dipecahkan kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan ditugaskan untuk memeriksa dan mengendalikan kepada seperti mengemudi kapal dan sebagainya. Setiap kumpulan dikehendaki mengemudi kapal selang 4 jam bagi kumpulan. Ini adalah tugas harian sepanjang pelayaran. Tugas-tugas dalam aktiviti harian ini merangkumi tugas seperti mengemudi kapal, memeriksa enjin kapal dan enjin generator, tugas "galley" (kerja dapur) dan tugas 'watch'. Tugas 'watch' ialah seperti menggunakan teropong dan melaporkan setiap kejadian dalam pelayaran. Disamping itu, kamu juga membersihkan kapal pada setiap hari.
Beberapa kuliah diberikan tentang ilmu pelayaran, bahasa arahan dan langkah-langkah keselamatan sewaktu kecemasan. Setiap saat di atas kapal dirasakan amat berharga dan pelayaran selama sepuluh hari ini kami rasakan terlalu singkat. Dalam pelayaran ke Singapura, kami sempat singgah di Pulau Cincin. Aktiviti-aktivit pada hari akhir pelayaran yang kami lalui amat menyeronokkan dan sukar kami lupakan. Pada hari kemuncak ini, pelatih-pelatih diberi kepercayaan untuk mengendalikan kapal tanpa bantuan daripada pegawai pemerintah serta krew-krewnya selama sehari.
Pelayaran ini diakhiri dengan penyampaian sijil dan taklimat ringkas oleh Kapten Komander Wong AS dalam suasana yang gilang gemilang.
Disediakan oleh:
Ahli Pelayaran
S M bin Othman
dan
M J bin Jaafar
Comments
Post a Comment