Minggu Sains Bangkok 17-21 Ogos 1991

Sekolah Tinggi Melaka telah sekali lagi menempa sejarah apabila terpilih untuk mewakili negara ke Minggu Sains Bangkok 17-21 Ogos yang lalu. Ini merupakan penyertaan pertama negara ke minggu sains ini. Kontinjen kami terdiri daripada dua orang pelajar, dari tingkatan 4. Kami telah ditemani oleh seorang guru penasihat dan seorang pegawai dari Kementerian Pendidikan serta seorang pegawai dari Shell. Pemergian kami adalah di bawah pembiayaan Shell. Kami turut membawa alat pameran kami yang memenangi tempat ketiga di pameran Minggu Sains Kebangsaan tahun lalu. Berikut adalah beberapa peristiwa menarik sepanjang minggu sains itu.

18-8-1991
Upacara pembukaan untuk pameran dari wakil negara-negara jemputan. Gerai pameran kami mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kami kemudiannys dibawa melawat sekitar Muzium Sains di mana pameran tersebut berlangsung.

19-8-1991
Saya dan BS Kam telah dibawa ke Sekolah Ratwinitbangkeao untuk menghadiri Kem Sains di sana. Sambutan yang diberikan kepada kami amat meriah. Selain kami, terdapat juga pelajar-pelajar AFS (Program Pertukaran Pelajar) dan pelajar Thai sendiri turut menyertai kem ini.

20-8-1991
Kami telah dibawa melawat ke Taman Buaya yang terbesar di dunia yang terletak di bandar Samutprakarn. Kemudiannya kami dibawa melawat ke 'Ancient City' yang terletak berhampiran. 'Ancient City' ini merupakan sebuah taman yang dibina mengikut peta Thai dan di dalamnya disusun bangunan-bangunan lama yang bersejarah seperti istana, tokong dan kuil mengikut asal masing-masing. Di sini anda seolah-olah berada di Thai beratus tahun dahulu dan menjelajah seluruh Thai dalam masa sehari.

21-8-1991
Awal-awal pagi lagi kami telah dibawa bersiar-siar di Taman Bunga Diraja untuk menikmati udara dan suasana pagi. Tengah hari sebelum kami meninggalkan Sekolah Ratwinitbangkeao ini, kami telah diberi ceramah tentang Sains Kelautan. Tepat pukul 2.00 petang kami bertolak ke hotel dengan menaiki bas yang telah disediakan.

22-8-1991
Setelah hampir seminggu berjauhan dengan keluarga, kini tiba masanya untuk berangkat pulang. Penerbangan dari Bangkok ke Lapangan Terbang Subang yang memakan masa kira-kira 1 jam 45 minit terasa begitu perlahan sekali. Namun segala pengalaman ini merupakan suatu yang tidak mungkin dilupakan.

Sepanjang kami di sana pelbagai pengalaman yang baru dan berguna dapat kami perolehi. Selain itu kami juga berpeluang berkenalan dengan peserta-peserta Minggu Sains tersebut dan dapat serba sedikit ilmu dan pengetahuan mengenai sains dan juga cara hidup pelbagai bangsa dari pelbagai pelosok dunia. Kami juga berterima kasih kepada pihak sekolah kerana membenarkan pemergian kami. Tidak lupa juga kepada pihak Shell yang telah menaja pemergian kami ke Minggu Sains tersebut.

R H M Y

Comments

Popular Posts