BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU


BAHASA adalah alat komunikasi yang digunakan sebagai Lingua Franca, terutamanya untuk menyampaikan sesuatu mesej atau maklumat. Bahasa Melayu boleh menjadi sebahagian bahasa ilmu kerana ia boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang selesa dengan laras-laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal dalam aneka bidang ilmu moden. Lantaran itu dapatlah dikatakan bahasa Melayu mempunyai kekuatan ilmu yang setanding dengan mana-mana bahasa moden yang lain dalam memperkatakan konsep dan pemikiran ilmu moden yang kompleks dan abstrak.


Untuk menjadi bahasa ilmu, sesuatu bahasa itu harus mencapai taraf dan mempunyai ciri-ciri penting seperti keintelektualan bahasa harus mempunyai keupayaan menyampaikan buah fikiran atau hujah dengan tepat dan berkesan, khususnya dalam mengungkapkan kesinambungan dan kerumitan pemikiran. Hal ini dapat diasuh-asihkan dengan keupayaan bahasa tersebut di dalam penggunaan laras-laras bahasa yang tepat dan mencerminkan kejelasan pemikiran yang logik. Kesemua ini mampu dilakukan oleh bahasa Melayu kerana bahasa ini mempunyai perbendaharaan kata yang luas serta mempunyai sistem dan struktur tatabahasa yang komprehensif.

Bahasa ilmu juga perlu mempunyai ciri kesempurnaan iaitu sifat-sifat yang menjadikan satu-satu bahasa yang sesuai, tepat, tegas dan berkesan dalam sebarang situasi dan sebarang konteks penggunaannya. Oleh itu, bahasa yang sempurna adalah bahasa yang memperlihatkan sifat-sifat kestabilan dengan mempunyai peraturan-peraturan atau sistem seperti peraturan sebutan, peraturan pemaham imbuhan dan struktur ayat serta frasa-frasanya. Dengan mempunyai kestabilan tersebut bahasa Melayu boleh disifatkan bahasa berkodifikasi.

Selain mempunyai sifat kestabilan, bahasa Melayu juga mempunyai ciri-ciri kelenturan bahasa yang unik dan tersendiri. Hal ini bermaksud bahawa bahasa Melayu boleh menyesuaikan dan disesuaikan dengan alam sekitar dan pembaharuan-pembaharuan yang berlaku dalam masyarakat. Ini bermaksud Bahasa Melayu berupaya dan boleh menyesuaikan diri dengan perubahan masa dan selera penuturnya tanpa mengorbankan sifat-sifat aslinya dengan kata lain, bahasa Melayu boleh menerima serta menyesuaikan diri dengan sistem ejaan dan sebutan baru pada kata-kata pinjaman sebagai mana ditetapkan oleh peraturan ejaan baru bahasa Melayu.

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang sempurna kerana mempunyai ciri-ciri kepelbagaian khususnya dalam cara dan gaya penyampaian sesuatu maksud, buah fikiran, perasaan mahupun pendapat. Dengan kata lain, kepelbagaian cara penyampaian yang dimiliki oleh bahasa Melayu itu tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu tidak terikat kepada satu cara atau gaya sahaja. Bahkan melalui kepelbagaian cara penyampaian ini juga akan dapat melahirkan kesan yang berlainan, oleh yang demikian, bahasa Melayu dapat digunakan mengikut keadaan atau situasi yang sesuai.

Bahasa Melayu juga mampu menjadi bahasa ilmu kerana bahasa ini mempunyai ciri-ciri berkesanan di dalam memberikan maksud dengan tepat dan berkesan. Bahasa Melayu bukan sahaja mempunyai istilah, susunan frasa dan ayat yang baik sesuai dan tepat, bahkan bahasa Melayu juga mempunyai ciri-ciri keindahan bahasa yang amat sukar ditandingi, khususnya dalam melahirkan perasaan, pendapat dan buah fikiran. Ini kerana ia mempunyai perkataan yang sedap didengar, menarik, dan dapat menyentuh perasaan hati para pembaca atau pendengarnya.

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah sememangnya bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu keintelektualan, kesempurnaan, kelenturan, kepelbagaian dan berkesanan merupakan bukti kepadatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Walau bagaimanapun untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlulah ada kerjasama yang erat di kalangan masyarakat. Apabila wujudnya kerjasama di kalangan masyarakat, tidak mustahil bahasa Melayu digunakan secara luas di seluruh dunia khasnya di Nusantara sebagai bahasa ilmu.

Hasil nukilan,
Hanif
U6A6

Muka surat 116 Isu ke 72 Optimist 1993








Comments

Popular Posts