Kata-Kata Aluan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka 1993 untuk STM


Saya berasa bersyukur dan amat bertuah kerana kesudian pihak Sidang Redaksi memberikan saya peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata di dalam majalah "The Optimist" ini. Syabas dan tahniah kepada STM kerana berjaya menerus dan mengekalkan tradisi menerbitkan majalah "The Optimist" Saya berasa bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh sekolah ini baik dalam bidang akademik mahupun bidang ko-kurikulum. Diharap kita sebagai pendidik ataupun pelajar di sekolah ini bukan sahaja dapat mengekalkan status kejayaan malah meningkatkan lagi kecemerlangan untuk masa yang akan datang.

Majalah Optimist merupakan suatu usaha yang murni dan tinggi nilainya.

Dengan adanya majalah ini saya yakin setiap pelajar dapat menghasilkan karya yang bermutu dan ini juga telah memberikan pelajar satu bentuk pemikiran yang kreatif, inovatif serta mempunyai kesungguhan di dalam membuat sesuatu perkara. Adalah menjadi satu kebanggaan dan penghormatan jika hasil karya mereka terpilih dan menjadi satu kenangan yang abadi untuk mereka di sekolah ini.

Bagi memastikan kita mencapai kejayaan dalam bidang akademik, pelajar digalakkan untuk memupuk minat membaca, mencari maklumat, merujuk bahan-bahan di pusat sumber dan membuat penyelidikan. Pelajar juga digalakkan berbincang dan megeluarkan buah fikiran. Manakala kita sebagai pendidik hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita berlandaskan lunas-lunas dan nilai-nilai murni.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa bidang pendidikan di negara kita kian berkembang maju. Di dalam proses kemajuan dan perkembangan ini, kita perlu berusaha dan mengubah cara berfikir, cara bertindak dan cara kita melihat hasilnya. Jadi tidak mustahil bagi kita mencapai matlamat wawasan 2020 seiringan dengan pembentukkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani, berkemampuan dan berketrampilan.

Akhir kata saya doakan semoga STM menperolehi kejayaan yang lebih cemerlang untuk masa yang akan datang. Terima kasih kerana penghormatan dan selamat maju jaya.


Hj. Sabri Bin Salleh
Bekas Pengarah Pendidikan Melaka

Muka Surat 2 Majalah Optimist Isu ke 72 1993

Comments

Popular Posts