Metu Ulau

Bintulu merupakan sebuah bandar pusat pengeluar petroleum yang mempunyai kelebihan tersendiri jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain di Sarawak. Selain daripada industri petroleum, Bintulu juga mempunyai lingkaran kisah-kisah misteri yang tersembunyi dalam tabir sejarahnya.

Nama Bintulu yang dikenali sekarang ini berasal dari perkataan "Metu Ulau". Perkataan "Meta Ulau" dalam bahasa orang Melanau di Bintulu bermaksud "memungut kepah". Sebab dikatakan "Metu Ulau" atau "memunngut kepah" ialah kerana terdapatnya sebatang sungai di Bintulu yang menjadi tempat jatuhnya kepala orang-orang yang dipenggal atau dipancung dalam pertempuran yang telah lama berlaku antara suku-suku kaum di Sarawak.

Mengikut cerita orang-orang tua yang disampaikan melalui mulut secara turun-temurun, negeri Sarawak pada zaman dahalu sentiasa dalam keadaan huru-hara dan kacau-bilau akibat daripada amalan memenggal kepala atau terkenal dengan sebutan "Ngayau".

Telah menjadi adat orang-orang dayak Borneo ini, sebelum seseorang pemuda dianggap matang dan dewasa, pemuda itu seharusnya membawa balik satu kepala musuh dari medan pertempuran, perlawanan, pertarungan atau dengan apa cara sekali pun yang pemuda itu terdaya melakukannya sebelum gadis yang hendak dipinangnya sudi mempersuamikannya.

Setiap rumah panjang mempunyai pasukan pejuang dan pertahanan mereka sendiri yang terdiri daripada lelaki gagah perkasa. Pada masa itu, pergaduhan dan permusuhan sering berlaku di antara kaum Iban dengan kaum Kantu, Kayan dan Kenyah. Apabila musuh-musuh mereka dapat ditewaskan dalam pertempuran, kepala-kepala mereka akan disambut oleh kaum wanita dengan sorak kegembiraan dan penuh rasa bangga yang tak terperi. Andainya ahli-ahli sesebuah rumah panjang masih dalam keadaan berkabung disebabkan sesuatu kematian, ketibaan pejuang-pejuang itu akan boleh menghapuskan segala kedukaan mereka dan menyerikan suasana dengan kegembiraan sekali lagi. Kedatangan kepala-kepala musuh disambut dengan majlis doa selamat sebelum ianya disimpan pada tempat tertentu dan seterusnya menjadi khazanah dan harta pusaka mereka yang tidak bernilai.

Demikianlah secebis kisah sejarah silam berhubung dengan amalan memotong atau memnggal kepala musuh yang menimbulkan keadaan huru-hara di Sarawak. Hal seumpama ini sememangnya terjadi di Bintulu dan bukan metos atau omong-omongan. Perkataan "Metu Ulau" yang digunakan oleh orang-orang asli Sarawak pada ketika itu lama-kelamaan telah menjadi "Mentulau". Apabila perkataan itu disebut oleh orang-orang asing dengan pelat ke Eropahan, kesudahannya dari perkataan "Mentulau" melarat-larat menjadi "Bintulu" dan akhir sekali disebut dan ditulis sebagai "Bintulu" seperti yang ada sekarang.

M F b Hj H 5S1



Comments

Popular Posts