Kata Alu-Aluan Pengarah Pendidikan



Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada sidang ridaksi Optimist Sekolah Tinggi Melaka kerana memberi kesempatan kepada saya menyampaikan sepatah dua kata dalam Optimist keluaran kali ini. Syabas kepada Sekolah Tinggi Melaka kerana berjaya menerus dan mengekalkan tradisi menerbitkan majalah Optimist ini.


Sebagai anak didik Sekolah Tinggi Melaka, saya kagum dengan kecemerlangan yang dicapai oleh pelajar-pelajar Sekolah Tinggi Melaka baik dalam bidang akademik mahu pun dalam lapangan ko-kurikulum. Pencapaian akademik dalam peperiksaan-peperiksaan SRP, SPM dan STPM amat membanggakan kerana telah menunjukkan peningkatan pencapaian prestasi yang menggalakkan. Di dalam bidang ko-kurikulum pula, penonjolan di peringkat kebangsaan amat dialu-alukan dan diharap penonjonlan ini berterusan. Tahniah kepada keluarga Sekolah Tinggi Melaka seluruhnya.


Pihak pendidik Sekolah Tinggi Melaka harus memastikan agar pencapaian ini dapat diperingkatkan lagi demi mengekalkan nama baik sekolah. Program-program peningkatan akademik dan kegiatan ko-kurikulum serta kegiatan kerohanian hendaklah seimbang. Di samping itu, untuk mencapai matlamat murni ini, soal-soal disiplin harus diberikan keutamaan.


Kita semua sedar bahawa sejak tahun 1826 lagi sekolah ini telah menjadi tumpuan dan perhatian masyarakat Malaysia umumnya dan Melaka khasnya. Oleh itu, pandangan ini perlu diberikan perhatian yang serius dan dikekalkan. Sekolah Tinggi Melaka juga berperanan sebagai salah sebuah institusi sokongan kepada industri pelancongan negeri Melaka. Maka sumbangan ini haruslah dikekalkan sepanjang masa.


Akhir kata, tanggungjawab secara kolektif ini adalah perlu untuk pembangunan ummah ke arah WAWASAN 2020.


Meliora Hic Sequamur



HAJI ZAINAL ABIDIN
Pengarah Pendidikan
Melaka.
1991

Comments

Popular Posts