Perutusan & Perasmian Dewan Sek Tinggi Melaka



Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izinNya dapat bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan pada petang hari yang bersejerah ini untuk upacara Pembukaan Rasmi Dewan Sekolah Tinggi Melaka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pengelola, Majlis Pembukaan Rasmi Dewan Sekolah ini di atas kesudian mereka menjemput saya besama-sama Toh Puan hadir di majlis yang permai ini dan seterusnya memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan pembukaan dewan ini.


Sebagaimana yang diketahui, Sekolah Tinggi Melaka mempunyai sejarah yang istimewa dalam Perkembangan Pendidikan sekolah di negara kita. Sekolah ini yang diasaskan penubuhan hanya sebagai 'The Malacca Free School' pada tanggal 7hb. Disember 1826, adalah merupakan sekolah yang kedua tertua di negara kita. Selain daripada mempunyai sejarah yang gemilang, sekolah ini juga mempunyai rekod yang cemerlang samada dalam bidang akademik mahupun dalam bidang ko-kurikulum, maka berdasarkan itu sewajarnya-lah ia menjadi kebanggaan kepada semua yang berkaitan dengannya, khususnya kepada mereka yang pernah menimba ilmu atau berkhidmat di sekolah ini.


Hari ini Sekolah Tinggi Melaka mencatitkan satu lagi sejarah. Sesungguhnya saya turut merasa bangga melihatkan kemampuan tuan-tuan membina sebuah dewan sekolah yang lengkap dan indah seperti ini, apatah lagi duduknya pula di dalam Negeri Melaka sendiri. Seperti yang telah dimaklumkan, perbelanjaan untuk mendirikan dan melengkapkan dewan ini ialah $750,000 dan dari jumlah itu grant yang diperolehi dari Kementerian Pelajaran adalah sejumlah $250,000 dan bakinya diperolehi melalui derma dari pelbagai pihak dan pertubuhan, seperti Persatuan Murid-Murid Tua, Lembaga Pengelola Sekolah, Persatuan Ibubapa dan Guru-guru, Pengetua, Guru-guru dan murid-murid sekolah ini serta dari berbagai pihak lain. Kerjasama dan bantuan dari pihak-pihak yang berkenaan adalah sangat menggalakkan dan dipuji.


Saya difahamkan usaha pembinaan Dewan seperti yang dibuat di Sekolah Tinggi ini adalah usaha yang julung-julung kalinya dibuat bagi sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan. Dewan adanya usaha yang bukan kepalang yang telah dicurahkan untuk membina dewan yang serba lengkap ini, maka sekarang bolehkah tuan-tuan merasa bangga kerana sahaja lebih besar, indah dan lengkap dari dewan-dewan sekolah bantuan kerajaan yang terdapat sekarang ini malah ianya dapat menampung keperluan murid-murid khasnya dan penduduk di negeri ini amnya bagi mengadakan kegiatan-kegiatan mereka. Dalam hubungan ini saya suka merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat dengan pembinaan dewan ini di atas kesunggukan dan usaha-usaha cemerlang yang diberikan. Saya berharap kejayaan yang dicapai oleh Sekolah Tinggi Melaka ini akan mendorong lain-lain sekolah kerajaan supaya melipatgandakan usaha sendiri bagi menambah kemudahan di sekolah masing-masing tanpa menunggu dan mengharapkan sepenuhnya bantuan daripada kerajaan sahaja.


Tuan-tuan dan puan-puan, kemudahan-kemudahan awam yang diadakan oleh kerajaan atau pihak lain untuk kepentingan rakyat tidak akan memberi kesan dan faedah jika ianya tidak dihargai dan dinilai oleh masyarakat. Oleh hal yang demikian amatlah penting dipupuk kesedaran sivik di kalangan rakyat khususnya di kalangan para belia dan murid-murid sekolah terutamanya dalam menjaga dan menggunakan dengan betul kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Dengan adanya kesedaran sivik akan melahirkan pula perasaan tanggungjawab murid-murid terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, sekolah dan seterusnya negara. Saya berharap para ibubapa dapat mempastikan bahawa anak-anak mereka yang bersekolah dapat menggunakan pelbagai kemudahan di sekolah serta mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan luar bilik darjah yang dikelolakan oleh sekolah. Semua ini diadakan semata-mata untuk kebaikan anak-anak selaras dengan tujuan pendidikan negara melahirkan masyarakat yang bersatu-padu, berdisplin dan terlatih.

Akhir kata saya bersama Toh Puan sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas jemputan ini. Dengan ini, saya dengan sukacitanya dengan lafas 'Bismillah Hirrahman Nir Rahim' merasmikan Pembukaan Dewan Sekolah Tinggi Melak.


Perutusan dan Perasmian Dewan Sekolah Tinggi Melaka oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Melaka, Tun Syed Zahiruddin Bin Syed Hassan Al-Haj, SMN, DUMN, PSM, SMMP, JMN, PJK.


Page 58 and Page 59 majalah sekolah The Optimist 60th Issue 1981


Diterterakan untuk rujukan bekas murid dan murid masa depan sebagai penghargaan sejarah sekolah.

Comments

Popular Posts