Guru Penyelaras Majalah Optimist, Malacca High
Seuntai Kata, Untuk Dirasa
Kata Aluan
Guru Penyelaras Majalah Optimist
Tanpa disedari, sudah sedekad saya memegang jawatan sebagai ketua penyelaras majalah Optimist yang cukup mencabar untuk diri saya. Pada penghujung setiap tahun, usaha menyempurnakan majalah ini mencapai klimaksnya kerana pada masa inilah semua bahan majalah ini haruslah diselesaikan dan dihantar kepada pencetak. Walaupun dengan tugas kerja yang begitu berat, saya bersyukur kerana mempunyai barisan guru dan ahli sidang redaksi Optimist yang sanggup bersama-sama menghadapi onak dan duri dalam proses penerbitan majalah ini. Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada ketua editor, Kerk dan semua ahli sidang redaksi di bawah pimpinannya.
Sekalung terima kasih juga saya tujukan kepada pihak pengtadbir atas pimpinan mereka, guru-guru penyelaras majalah atas komitmen mereka, dan kepada semua guru serta staf sokongan atas kerjasama mereka. Tanpa and kalian, majalah ini tidak dapat diterbitkan sebagai tatapan semua warga sekolah ini dan sebagai penyambung tradisi sekolah MHS. Moga-moga majalah ini dapat menjadi memori indah untuk semua warga MHS pada masa depan.
Tugas menyempurnakan majalah yang merupakan rakaman peristiwa sepanjang tahun dan dokumentasi sekolah ini bukanlah mudah tetapi telah kami terima dengan hati yang redha. Semua perit getir semasa penyempurnaan majalah mulai dilupakan apabila majalah ini dapat disiapkan dan perasaan gembira terpancar di muka setiap ahli sidang redaksi kerana telah dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanatkan kepada mereka. Moga-moga segala pengalaman dan cabaran dalam menyempurnakan majalah ini akan menjadikan ahli-ahli sidang redaksi Optimist lebih matang dan tabah menghadapi pelbagai rintangan dalam era globalisasi yang semakin mencabar.
Adalah menjadi harapan saya, agar semua anak didik sekolah ini dapat menanam perasaan cinta akan sekolah dan bangga menjadi warganya. Dengan kecintaan dan kebanggaan terhadap MHS akan membolehkan kita bersama-sama berusaha mengharumkan nama sekolah dan membolehkan sekolah ini tetap berdiri megah di seantero dunia walaupun usia sekolah ini telah menjangkau 180 tahun.
Akhir sekali, saya mewakili sidang redaksi Optimist memohon maaf jika terdapat apa-apa kesilapan dalam penerbitan majalah Optimist tahun ini. Yang baik itu daripada Tuhan tetapi yang kurang itu daripada kami.
Salam hormat daripada kami.
MELIORA HIC SEQUAMUR
Pn L.I.T
Ketua Penyelaras Majalah "The Optimist" , 1997-2006
Comments
Post a Comment