BEKAS PELAJAR STM YANG BERJAYA

YAB Datuk Abu Zahar bin Haji Isnin dilahirkan pada 14 September, 1937 di Kampung Merlimau Pasir, Melaka. Bapanya ialah seorang pekebun kecil dan ibunya seorang suri rumahtangga. Beliau ialah anak ke-4 dari tujuh orang adik beradik.

Beliau menerima pendidikan di Sekolah Melayu Merlimau selama tiga tahun dan seterusnya ke Sekolah Tinggi Melaka dalam Special Malay Class pada tahun 1948. Beliau berada di Sekolah Tinggi Melaka sehingga tahun 1956, di mana beliau menduduki peperiksaan Senior Cambridge. Setelah berjaya dalam peperiksaan itu, beliau memasuki Maktab Perguruan Kota, Kelantan pada tahun 1957, dan meneruskan pengajian perguruan beliau di Maktab Perguruan Bahasa di Bukit Senyum, Johor Bahru dan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada tahun 1958. Beliau ialah Kumpulan Pengasas Maktab Perguruan Bahasa itu.

Pada tahun 1960, beliau menduduki peperiksaan Higher School Certificate dan pada tahun 1967 diberi tugas sebagai Guru Penolong Kanan di Sekolah Tun Perak, Jasin, Melaka. Pada tahun 1979 beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengelola Kanan di Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran di Kuala Lumpur. Pada tahun 1984, beliau menghadiri satu kursus Pengembang Bahasa Kedua di Brighton Polytechnic Language Centre-University of Brighton, United Kingdom. Pada tahun 1985, beliau telah dipindahkan ke Jabatan Pelajaran Melaka sebagai Ketua Penolong Pengarah Unit Pendaftaran Sekolah-Sekolah Negeri Melaka.

Sebagai ahli politik, beliau pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Rim, Jasin pada tahun 1965 dan Timbalan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin pada tahun 1976 sehingga 1978. Beliau telah menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin pada tahun 1978 dan menjadi Pengerusi Biro Pelajaran UMNO Bahagian Jasin dari tahun 1978 hingga 1986. Pada tahun 1988 beliau telah dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Jasin hingga tahun 1990. Pada tahun 1990 beliau dipilih menjadi Ketua UMNO Bahagian Jasin sehingga masa kini. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Biro Pendidikan Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan juga Pengerusi Kempen Penambahan Ahli Negeri Melaka. Pada masa ini, YAB Datuk Abu Zahar merupakan Bendahari Perhubungan UMNO Negeri Melaka.

Kerjaya beliau sebagai Wakil Rakyat bermula apabila beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Rambai dalam Pilihanraya Umum pada tahun 1986 dan seterusnya dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka. Beliau mempertahankan kerusi tersebut dalam Pilihanraya Umum berikutnya pada tahun 1990. Pada tahun 1994, YAB Datuk Abu Zahar telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan memegang jawatan Pengerusi Portfolio Pertanian dan Pembangunan Desa. Pada Pilihanraya Umum tahun 1995, beliau telah berpindah kawasan dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Merlimau. Serentak itu, beliau telah diberi kepercayaan untuk menerajui Portfolio Kerja Raya dan Pembangunan Awam sehingga sekaran.

YAB Datuk Abu Zahar telah dikurniakan pingat Ahli Mangku Negara pada tahun 1983 dan pada tahun 1987 beliau dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk.

Dalam bidang sosial, Datuk Abu Zahar pernah menjadi Pengerusi (Negeri) Persatuaan Ahli-ahli Parlimen Komanwel dari tahun 1987 hingga 1994. Beliau juga ialah Pengerusi Majlis Pertubuhan Pengakap Negeri Melaka dan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Melaka.

Hasil daripada perkahwinan beliau dengan Datin Khalijah binti Hj. Mohd. Jiddi, beliau telah dikurniakan dengan enam orang anak, lima perempuan dan seorang lelaki.

YAB Datuk Abu Zahar Bin Haji Isnin pernah menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri Melaka dari 23.05.1997 sehingga 02.12.1999.

Comments

Popular Posts