Temuramah dengan Cikgu Tai Pon Hoy

Cikgu Tai Pon Hoy, merupakan seorang pendidik yang tidak asing lagi di mata warga Sekolah Tinggi Melaka. Beliau mempunyai reputasi sebagai seorang guru Matematik yang cekap lagi berpengalaman di samping menjadi batu sandaran kepada sesiapa sahaja yang dalam dilema. Sebagai Guru Penolong Kanan 1, Cikgu Tai telah memberi banyak sumbangan kepada pembangunan Sekolah Tinggi Melaka, dengan menjadikannya sebuah sekolah yang berprestij dan berprestasi cemerlang. Namun demikian, Cikgu Tai kini akan menyahut cabaran baru di dalam kehidupannya sebagai seorang pendidik dan pembimbing. Beliau telah dinaikkan jawatan sebagai Guru Besar dan dengan penerimaan peluang itu bermakna Sekolah Tinggi Melaka akan kehilangan seorang guru yang berkaliber. Oleh itu, pihak Sidang Redaksi Optimist telah menumuramah Cikgu Tai Pon Hoy dan berikut merupakan hasil temuramah yang telah dijalankan.

Optimist: Cikgu Tai, bilakah cikgu mula mengajar dan di manakah sekolah pertama cikgu ?


Cikgu Tai: Saya mula mengajar pada tahun 1977 dan sekolah saya pertama ialah Sekolah Tinggi Melaka dan sehingga kini, saya tidak pernah mengajar di sekolah lain.


Optimist: Apakah faktor yang mendorong cikgu menceburi bidang perguruan ?


Cikgu Tai: Tiada faktor, cuma ditakdirkan.


Optimist: Berdasarkan pengalaman cikgu, apakah yang membezakan Sekolah Tinggi Melaka dari sekolah-sekolah lain ?


Cikgu Tai: Sebagai seorang guru, saya tidak pernah mengajar di sekolah lain tetapi berdasarkan pandangan saya, Sekolah Tinggi Melaka sememangnya menpunyai beberapa keistimewaan berbanding dengan sekolah-sekolah lain. STM mempunyai tradisi dan sejarah yang kaya dan nama sekolah ini juga sering dikaitkan dengan kecemerlangan dan kejayaan. Baru-baru ini, sekolah ini telah diberi nama sebagai sebuah sekolah 'premier' dan ini merupakan satu penghargaan yang cukup baik bagi warga sekolah.
Selain itu, STM juga serba lengkap dengan infrastruktur yang kukuh. Sistem pentadbiran sekolah adalah cekap dan mampu berjalan dengan lancar dalam mana-mana situasi. Guru-guru di sini juga mempunyai reputasi mereka yang tersendiri, mahir, mempunyai komitmen yang kuat terhadap tanggungjawab mereka dan kebanyakan daripada mereka juga mempunyai kebolehan mereka dengan pencapaian akademik dan ko-kurikulum yang baik.


Optimist: Pada pendapat cikgu, apakah prinsip-prinsip yang perlu ada pada seseorang dalam usaha untuk mencapai kejayaan ?


Cikgu Tai: Komitmen ialah prinsip penting yang perlu dipraktikkan jika ingin meraih kejayaan. Dengan komitmen terhadap sesuatu perkara, seseorang itu dengan otomatik akan cuba sedaya-upaya untuk berjaya dan dengan sendirinya, usaha itu boleh dikatakan kejayaan. Seperti contoh, seorang pelajar yang ingin mencapai keputusan yang cemerlang perlu mempunyai komitmen terhadap matlamat itu dan mula belajar setekun-tekunnya. Dengan usaha sebegini, tidak mungkin pelajar itu akan mendapat keputusan yang kurang memuaskan.


Optimist: Akakah cikgu mempunyai apa-apa kata akhir yang ingin disampaikan kepada pelajar-pelajar Sekolah Tinggi Melaka ?


Cikgu Tai: Saya hanya ingin berkata bahawa jika pelajar-pelajar semua tidak menyingkirkan sikap 'tidak apa', tidak banyak yang dapat dicapai oleh para pelajar. Belajarlah dengan komitmen dan kejayaan akan dapat dicapai.


Dengan kata-kata yang bermakna itu, berakhirlah temuramah kami dan juga tamatlah residensi Cikgu Tai di Sekolah Tinggi Melaka. Ketiadaan Cikgu Tai di STM merupakan kehilangan besar kepada sekolah kami tetapi Cikgu Tai telah memberi sumbangan yang besar dalam pembangunan sekolah. Kamu bagi pihak sidang redaksi Optimist mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Cikgu Tai dan semoga beliau direstui kebahagian dan kejayaan di sekolah barunya. Semoga berjaya Cikgu Tai !

Daniel & Grace

Comments

Popular Posts