Kata-Kata Aluan Menteri Pelajaran 1976


Saya sungguh merasa bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang berkenaan menjayakan perayaan ulangtahun ke 150 Sekolah Tinggi Melaka kerana telah memberi peluang kepada saya memuatkan sepatah dua kata-kata aluan ke dalam buku cenderamata sambutan yang bersejerah ini.
Sekolah Tinggi Melaka ini merupakan bukan sahaja salah sebuah sekolah yang tertuan di Melaka ini tetapi juga di Malaysia. Dalam usianya yang begitu lanjut tidak syak lagi ianya telah banyak berbakti kepada masyarakat di sekitar bandar Melaka ini khasnya dan Negeri Melaka amnya. Murid-murid yang sedang belajar di sekolah ini patut merasa bangga kerana berada di salah sebuah sekolah yang telah begitu lama berkhidmat dan terkemuka itu.
Seratus lima puluh tahun adalah satu jangka masa yang panjang. Dalam tempoh yang begitu lama sekolah ini memberikan khidmatnya sudah tentu ramai mengeluarkan cerdik pandai yang bertanggungjawab mentadbirkan negara ini. Namun demikian ia masih berkhidmat kepada jenerasi muda hari ini dan akan terus berkhidmat mengeluarkan beberapa ramai lagi bilangan pemuda-pemuda terpelajar selagi murid-murid yang belajar di dalamnya berusaha dan berazam untuk mencedok ilmu pengetahuan yang diajar di dalamnya.
Kepada murid-murid sekalian sukalah saya berseru di sini supaya dapat mencontohi keluaran-keluaran yang mencapai kejayaan yang cemerlang dari sekolah ini di masa-masa yang lalu.
Di dalam zaman yang penuh dengan berbagai cabaran dan dugaan ini lebih-lebih lagi di bandar-bandar, murid-murid sentiasa terdedah kepada pengaruh-pengaruh liar yang boleh merosakkan mereka itu. Jika murid-murid dari sekolah ini terlibat dengan tabiat yang tidak diingini oleh masyarakat itu akan selanjutnya melibatkan nama baik sekolah ini. Oleh itu saya berharap supaya ibubapa akan bekerjasama dengan pihak sekolah mengawasi anak-anak mereka supaya nama baik yang telah dicipta oleh sekolah ini sentiasa terpelihara.
Sekian dan dengan ini saya ucapkan selamat menyambut ulangtahun ke 150 Sekolah Tinggi Melaka.
Dr. Mahathir Bin Mohamad
Rumah Persekutuan, Kuala Lumpur
5hb. Julai, 1976.
Converting Hard Copy to Soft Copy: Page 5 Optimist 1976

Comments

Popular Posts