Cabaran Profesion Perguruan Pada Hari Ini

"Buatlah apa saja, asalkan dia pandai mengaji, jangan buta dan patah sudahlan." Itulah lesen yang diamanahkan oleh orang tua ketika menghantar anak mereka belajar muqaddam 50 tahun dahalu. Kalau kini, menjentik telinga anak murid pun boleh mengheret guru ke mahkamah, jauh sekali merotan. Begitulah senario 'kuasa' guru pada 50 tahun dahulu dengan 'hak' guru pada hari ini. Kalau dahulu, ahli masyarakat menilai guru dari segi mikronya semata-mata, kini mereka membuat penilaian dari segi makronya pula. Kalau dahulu mereka hanya mempersoalkan kejayaan dari segi bilangan pelajar yang mempunyai sijil yang cemerlang dalam peperiksaan awam sahaja, hari ini mereka mempersoalkan sejauh mana anak-anak mereka melalui proses pendidikan formal itu dididik dengan nilai-nilai sempurna. Selagi kita cepat menerima perubahan, selagi itulah soal mutu guru negara akan dipertikaikan. Kini, kita meminta yang terbaik, terulung dan teragung. Kita mahu yang "Utopia". Ini adalah realiti di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Betapa beratnya beban guru !

Soal kecemerlangan akademik sesungguhnya menjadi asa dominan penilaian masyarakat terhadap kemampuan guru. Prestasi guru diukur dari bilangan pelajar yang lulus dan yang gagal. Sekiranya peratus kelulusan mata pelajaran yang dikendalikan oleh mereka merosot dengan mendadak, maka terpaksalah mereka memikul bebannya. Mereka cuma dibelenggu dengan kegagalan pelajar, bukan sumbangan mereka menjadikan pelajar itu menjadi lebih cerdik, lebih pandai mahupun lebih berbudi pekerti. Anehnya, faktor luaran, seperti pengaruh televisyen tabiat membaca, sikap ibu bapa sampailah pada soal kelengkapan bilik darjah mahupun makmal tidak dipersalahkan. Lantaran perasaan kecewa, sedih dan memprotes yang membakar jiwa guru-guru beralih kepada pendekatan baru, yakni melalui tatacara pengajaran yang lebih berkesan. Setiap persediaan mengajar dirancang dengan teliti dan sistematik agar dapat membina sifat berfikir secara kritis dan mengasah intelek pelajar agar mereka tidak "Pak Turut". Ini tidak menghairankan memandangkan sistem pendidikan kita berorientasikan peperiksaan mematikan daya kreatif golongan pelajar yang ditanam satu ton buku. Maka guru bertanggungjawab mencuit naluri pelajar untuk melahirkan daya pemikiran yang sempurna, bukan memuntahkan apa yang diajar dalam kertas peperiksaan semata-mata. Guru perlu mengapi-apikan semula semangat inkuiri yang wujud dalam zaman Renaissance dahulu. Justeru, guru mendukung peranan mengadakan program pemantapan dan kelas-kelas bimbingan agar pelajar-pelajar terpinggir itu dapat 'duduk sama rendah dan diri sama tinggi' dengan pelajar yang cemerlang. Dengan cara ini, mentaliti subsidi dan pasrah kepada nasib dikikis. Tegasnya, guru pada hari ini memainkan peranan yang lebih besar dalam mencorak kecemerlangan akademik para pelajar dan sekaligus menempatkan mereka ke suatu tahap yang tinggi dalam hierarki profesionalisme.

Sesungguhnya, kecemerlangan akademik semata-mata tidak melambangkan pelajar yang dinamik dan unggul. Salah satu aspek yang tertera dalam Falsafah Pendidikan Negara ialah agama. Agama merupakan pemancar isbat dalaman seseorang insan. Agamalah asas tamadun manusia. Tanpa tembok keimanan yang utuh, nescayalah profesion guru yang utuh selama ini akan hancur berkecai. Natijahnya, guru dilabelkan sebagai pembentuk manusia yang berpelajaran tetapi tidak berpendidikan. "Agama asas pendidkan." Di celah-celah tajuk yang terpapar pada dada akhbar Utusan bertarikh 17 Mei 1996 ini tersirat kemulusan maknanya. Sesungguhnya, dalam menguasai ilmu, agama merupakan paksi dalam mencambahkan dorongan untuk menguasai ilmu-ilmu lain, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini, ibu bapa menyerahkan secara bulat-bulat tanggungjawab mendidik anak-anak mereka kepada guru-guru. Guru yang dianggap sebagai agen kemasyarakatan.

Berperanan menanam nilai-nilai murni dalam sanubari pelajar melalui proses dan pengajaran. Masalah dadah, kenakalan, tidak berminat dalam pelajaran, tidak berupaya berbicara, tidak tahu membaca fatihah, tidak tahu solat, semuanya dibebankan kepada guru. Justeru, profesion guru semakin rencam dan mencabar. Guru bukan sahaja terpaksa 'memandaikan' anak orang malah mereka terpaksa mencelikkan anak-anak didik mereka dari segi akhlak, budaya dan pengertian amanah dan tanggungjawab hakiki.

"Kasih sayang ubat yang paling mujarab," kata Zorkanain Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan sempena Hari Guru 1996. Sekali imbas, kita sesungguhnya tidak dapat menafikan "keanggunan" kasih sayang sebagai lunas pendidikan. Memang tidak dapat dinafikan, di sekolah terdapat ramai pelajar yang bergelar mangsa pencerian, penderaan mahupun kemiskinan. Malah, keangkuhan makhluk yang bergelar ibu bapa dalam mengejar kekayaan menyebabkan anak-anak mereka terbiar. Lantas, pelajar bermasalah ini putus harapan dan hilang daya keyakinan. Lantaran terusik dengan gaya dan gelagat ibu bapa di rumah, remaja memilih jalan keluar untuk mencari "kedamaian" untuk mengisi kekosongan jiwa di luar rumah. Rentetan itu mereka mula menjinakkan diri dengan unsur-unsur yang tidak enak dan keji di sisi agama. Justeru, selepas ketiadaan ibu bapa, gurulah tempat untuk bermanja dan mengadu hal. Sesungguhnya, kita tidak boleh menyalahkan pelajar sepenuhnya kerana para pelajar sekolah menengah khususnya sedang melalui tahap yang penuh dengan pancaroba dan gelora. Lebih-lebih lagi, pada zaman ini, tekanan yang dihadapi oleh belia adalah lebih mencabar. Oleh itu, nyatalah peranan guru untuk melayan segala keperluan kasih sayang itu adalah amat sukar, namun inilah cabaran yang terpaksa ditempuhi secara tuntas dan bijaksana. Guru pada hari ini perlu sentiasa bersedia untuk berdepan dengan seribu macam rencah, aneka krisis dan konflik yang menimpa pelajar tanpa ras takut dan ragu-ragu. Segala kerenah hidup pelajar harus didekati dengan penuh belas ihsan, kesungguhan dan keiltizaman. Tanpa kasih sayang, pendidikan ibarat sebuah pementasan tanpa aspek kekaguman dan kefungsian peralatannya.

Fenomena 'anak teknologi maklumat seolah-olah telah berakar umbi dalam kalbu pelajar-pelajar hari ini. Kehidupan mewah hasil kejayaan ibu bapa mereka, anak-anak hari ini mula mempertuhan komputer. Internet tidak asing lagi bagi pelajar-pelajar malah ia digunakan untuk berinteraksi melalu mel elektronik dengan rakan-rakan mereka di Amerika Syarikat mahupun di United Kingdom. Bahkan, dengan ibu bapa pun komputer dijadikan alat komunikasi. Dunia persekolahan seolah-olah membosankan. Mata pelajaran Sejarah menjadi lebih menarik melalui CD daripada mendengar bebelan guru mereka. Mereka lebih berseronok berdepan dengan komputer daripada berdepan dengan buku teks. Namun, sayang seribu sayang, sesetengah guru-guru masih meraba-raba dalam kegelapan. Persaingan dalam bidang teknologi menjadi semakin hebat. Inilah cabaran semasa yang perlu guru hadapi ! Profesion perguruan pada hari ini wajar sentiasa peka, sedar dan sedia melengkapkan diri sert mengikuti perkembangan pendidikan semasa. Inilah satu-satunya prasyarat bagin menyahu seruan dan harapan masyarakat. Lebih-lebih lagi, dengan terlaksananya Koridor Raya Multimedia baru-baru ini, jangkaan masyarakat terhadap guru semakin tinggi. Malah implementasi mata pelajaran komputer kepada pelajar-pelajar STPM buat pertama kalinya tahun 1977 memperhebatkan lagi cabaran profesion guru !

Kalau lima tahun yang lalu guru dikehendaki melahirkan masyarakat berilmu, kini kaum guru digemparkan pula dengan konsep masyarakat madani; yakni masyarakat bertamadun yang sarat dengan sifat-sifat kebajikan, keprihatinan, kasih sayang, berakhlak dan berilmu. Gagasan masyarakat madani ini dipopularkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita masyarakat Timur, berbudaya timur. Ilmu diletakkan pada tempat yang utama, dan ia menjadi asas bagi memupuk masyarakat demokratik yang bebas daripada penyelewengan dan penindasan. Kata pujangga "minda yang subur berpunca daripada badan sihat." Tanpa kegiatan kokurikulum, pendidikan seseorang dipandang sebagai tidak lengkap. Faktor fizikal inilah yang merangsang warga pendidik supaya bekerja keras dan membina masyarakat madani yang tulen. Sifat kepimpinan, sukarelawan, esprit de corps, semangat kesukarelawan, sanggup mengikuti peraturan, penyayang dan pengorbanan dapat dipupuk melalui persatuan-persatuan seperti PBSM, pandu puteri mahupun sukan. Dalam pada itu, gurulah yang mencorak penentu maruah bangsa dan negara. Gurulah pembentuk 'tiang negara' dan 'harapan bangsa'. Lantaran itu, corak kepemimpinan bakal penentu nasib anak cucu kita berlunaskan pada apa yang disumbangkan oleh guru sekarang. Alangkah mulianya amanat guru !

Setelah ditinjau, sesungguhnya, profesion guru pada hari ini, penuh dengan onak dan ranjau memandangkan tanggungjawab dan bebanan mereka semakin berat dan mencabar, lebih-lebih lagi apabila Malaysia sedang meninggalkan abad ke-20, menyongsong ke abad ke-21. Walau bagaimanapun, segala cabaran tidak patut menggerunkan angkatan pendidik, malah dijadikan aspirasi untuk terus berusaha keras, mendidik dan membentuk insan yang seimbang dan harmonis dari segi kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan objektif Falsafah Pendidikan Negara. Inilah ciri minda guru mithali ! "Ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya." Begitulah tingginya martabat seorang guru. Guru umpama seekor penyu yang bertelur beratus-ratus tetapi secara senyap-senyap, bukanlah seperti seekor ayam yang cuma bertelur sebiji tetapi riuh sekampung. Guru sentiasa berpegang kepada resmi padi; resmi jagung dikikis sama sekali ! Sesungguhnya tiada kata seindah bahasa yang mampu 'menyingkap' guru sejati. Fitrah guru suci. Pengorbanan guru disanjung tinggi. Jasa guru kekal di sanubari. Apa kata orang, "besar tapak tangan, nyiru ditadahkan."

Tanpa guru, siapalah kita hari ini ?

Oleh Amy CMY U6A4

Comments

Popular Posts