SEJARAH PENUBUHAN KADET REMAJA SEKOLAH

Kadet Remaja Sekolah atau KRS telah ditubuhkan dan diasaskan oleh Encik Muhammad Thani Bin Sha'aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987. Pada mulanya pasukan ini dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia atau KPIM yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-Pelajar Islam SMRA (PERWIRA). Keahliannya adalah seramai 20 orang pelajar sahaja iaitu terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 dan 2. Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang yang Berilmu, Beriman dan Beramal, berakhlak mulia, bersemangat patriotik dan berketrampilan selaras dengan usaha dan hasrat mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah Wawasan 2020.

Pasukan KPIM ini bernaung di bawah pengawasan Unit Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA KEHIDUPAN. Mulai tahun 1989 beberapa buah sekolah di Wilayah Perseketuan telah mula menubuhkan KPIM. Di antaranya ialah Sekolah Menengah Taman Tun Dr. Ismail di bawah pimpinan Ustaz Ahmad Farazilla Bin Abdul Ghani, Sekolah Menengah Seri Titiwangsa di bawah pimpinan Encik Anuar Bin Abd Aziz dan Sekolah Menengah Agama Ma'ahad Hamidiah, Kajang, Selangor di bawah pimpinan Encik Abu Hassan Bin Morad. Pada tahun 1993, sebanyak 53 buah Sekolah Menengah di seluruh negara telah menubuhkan KPIM. Usaha untuk menubuhkan KPIM secara resmi dan bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia telah dimulakan pada 10 Ogos 1993. Satu pertemuan telah diadakan dengan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid Bin Wan Mohd Nordin iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 13 September 1993. Di dalam pertemuan ini tesis mengenai KPIM telah dibentangkan. Hasilnya, sebuah jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk menyediakan kertas kabinet. Jawatankuasa ini mencadangkan agar pasukan ini diberi KADET PUTERA-PUTERI ISLAM (KPIM). Walau bagaimanapun nama pasukan ini kemudiannya ditukar kepada KADET REMAJA ISLAM (KRIS).

Sementara itu taklimat dan pendedahan kepada Pengarah-Pengarah Bahagian Kementerian Pendidikan yang diadakan pada bulan Oktober 1993 dan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid telah membuat keputusan agar nama pasukan ini ditukar kepada KADET REMAJA SEKOLAH atau KRS yang bertujuan agar keahliannya terbuka kepada semua kaum sama ada pelajar lelaki atau perempuan. Upacara Penlancaran KADET REMAJA SEKOLAH Peringkat Kebangsaan telah dilaksanakan pada 20 Jun 1995 bersamaan 21 Muharam 1416 oleh Yang Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur.

Comments

Popular Posts