SEPETANG DI DERMAGA ...

http://hanspunyablog.blogspot.com 
Ketika itu aku berdiri di hujung dermaga. Feri yang akan membawaku ke Pulau Pinang masih tidak kelihatan. Sesungguhnya telah lama kupendam hasrat untuk ke Pulau Mutiara itu, namun tidak kesampaian hinggalah ke hari ini. Bagai pucuk dicita ilam mendatang, maksu, ibu saudaraku menjemputku ke rumah yang baru dibelinya.


Aku melirik pada jam tanganku. Tepat jangkaanku ... hari sudah menghampiri malam Nun jauh di kaki langit kelihatan mega-mega kirmizi bertompok-tompok sambil dipanahi sinar sang mentari. Alam berwarna keemasan. Ternyata mentari masih gagah meskipun sang rembulan sudah menampakkan diri.


Aku menghirup udara segar. Angin laut sudah sekian lama tidak kurasai terasa amat menyamankan. Perlahan-lahan pula kurasai sang bayu menyapa tubuhku sambil membelai mesra anak-anak rambutku. Telingku didodoikan deruan ombak yang mengasyikkan berbeza dengan kesesakan di bandar. Sambil itu anak mataku dapat menangkap kelibat sang camar yang leka bermain-main di udara. Leka sungguh camar-camar itu berterbangan.


Hari semakin merangkak tua. Lembayung senja mula menutup pandangan. Mentari di ufuk Timur juga kian tenggelam. Jamku sudah menunjukkan pukul tujuh setengah. Hatiku mula merungut ekoran kelambatan feri yang kutunggu. Namun aku menyedapkan hati dengan menolak semua prasangka buruk. Kemudian aku melangkah ke arah kedai runcit yang tidak jauh dari dermaga.


Baru beberapa langkah aku menganjak keluar dari dermaga, anak telingaku disapa bunyi yang amat asing. Dermaga runtuh ! Oh Tuhan ! Aku mengucap panjang. Bibirku laju beristirghfar. Beberapa orang yang sama-sama menunggu bersamaku sebentar tadi kelihatan tercedera. Darah hanyir mengalir dari tubuh mereka. Suasana menjadi hingar-bingar.


Tanpa membuang masa aku mengarahkan seorang pemuda menelefon pihak berkuasa. Kemudian aku bersama beberapa orang yang melihat tragedi itu bersama-sama cuba menyelamatkan mangsa. Air yang sedang pasang menyukarkan usaha kami. Aku berenang menuju ke arah seorang kanak-kanak yang pada pandangku sudah hampir lemas. Nasib menyebelahi ku, kanak-kanak perempuan itu dapat kuraih. Dengan menggunakan teknik berenang yang aku pelajari dahulu, aku berjaya membawanya ke darat.


Sebaik sahaja aku mencecah tanah, aku diserbu seorang lelaki dan seorang wanita yang kukira sepasang suami isteri. Si lelaki segera menyambut kanak-kanak yang kuselamatkan dan memberinya bantuan pernafasan. Yang wanita pula kulihat tidak henti-henti menitiskan air mata. Kanak-kanak itu anak mereka rupanya. Aku menunggu cemas untuk mengetahui keadaan kanak-kanak itu ... syukur kepada Tuhan, kanak-kanak yang sudah nyawa-nyawa ikan tadi mula batuk-batuk dan memnuntah air. Sepasang suami isteri itu kelihatan diselubungi kegembiraan. Kemudian tidak henti-henti mereka mengucapkan rasa terima kasih kepadaku. Menurut mereka, Laura, anak mereka tidak mahu mengikut ke kedai sebentar tadi. Tanpa sehama pun rasa bimbang, mereka ke kedai meninggalkan anak mereka yang leka melihai camar.


Ketika itulah malapetaka itu berlaku. Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil menghulurkan sedikit nasihat sebagai pedoman untuk mereka. Aku juga berharap agar kejadian itu menjadi teladan buat mereka. Kata-kataku disambut mereka dan ucapan terima kasih dihulur sekali lagi.


Nun tidak jauh dariku, seorang wanita sedang memangku seorang budak lelaki. Wanita itu kulihat maratap hiba. Disekelingnya beberapa anggota keselamatan sedang menenangkannya/ Aku menghampirinya. Ya Allah ! Kepala budak yang dipangku wanita itu retak sedikit. Darah hanyir mengalir membasahi wajahnya. Mungkin Tuhan lebih mengasihinya, aku menenangkan diriku.


Pandanku terlempar ke arah dermaga yang runtuh. Kulihat sudah tiada sesiapa di situ melainkan anggota-anggota keselamatan yang entah bila munculnya. Sesungguhnya aku begitu cemas melihat keadaan kanak-kanak yang kuselamatkan tadi sehingga tidak sedar akan kehadiran pihak berkuasa.


Tiba-tiba bahuku ditepuk mesra. Aku menoleh. Seorang anggota polis menghulurkan tuala kepadaku sambil melemparkan senyuman. Mungkin berbangga, mungkin gembira atau sekadar mengambil hati. Entahlah ! Fikiranku cuma tertumpu ke arah beberapa orang mangsa yang dibawa masuk ke ambulan. Mujur tidak ramai yang cedera parah. Tetapi, bagiku kejadian sebegini tidak harus berlaku. Pihak yang bertanggung jawab seharusnya menjaga keadaan dermaga. Apatah lagi dermaga ini digunakan oleh feri untuk membawa penumpang ke Pulau Pinang, sebuah pulau yang sentiasa menjadi kunjungan para pelancong dari dalam dan luar negara.


Tidak mahu terus dibuai perasaan, aku mengesat tubuhku dengan tuala yang diberi sambil mengganti pakaian. Melihat keadaan dermaga yang sudah runtuh, aku mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang kutuju dengan menaiki bas. Aku melangkah lesu ke pondok perhentian bas, dan aku amat bernasib baik kerana setibanya aku di sana, bas muncul tanpa disangka-sangka.


Aku meninggalkan tempat berlakunya tragedi yang kini tersemat kukuh di lipatan memoriku. Biarlah kejadian ini menjadi pedoman dan teladan buatku menempub hari muka.


... tepat jam sembilan malam aku tiba di rumah maksuku sambil disambut mereka. Kami makam malam bersama sambil aku menceritakan tragedi yang baru kutempuhi. Syukur kepada Ilahi kerana aku selamat ...


Hasil Karya Mohd F bin Mohd A 4S1

Comments

Popular Posts