Peraduan Menulis Cereka Sains Sekolah-Sekolah Menengah Malaysia.

10 Julai 1993 - Upacara penyampaian hadiah peraduan menulis cereka sains dan esei astronomi yang dianjur bersama oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Alam Sekitar, Sains dan Teknologi serta Persatuan Saintis Malaysia telah diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Hadiah pertama yang berupa cek bernilai RM700 dan sijil telah disampaikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Datuk Dr. Leo Michael Toyad kepada dua orang pelajar Sekolah Tinggi Melaka. Pelajar tersebut ialah Lui NL dan Raymond Ng yang telah berjaya mengatasi 90 penyertaan yang lain.

Cereka mereka yang berbunyi "Sekilas Pandang ke Tahun 2020" memaparkan kisah seorang pemuda bernama Luimoud dan seorang wanita yang bernama Mutiara yang telah merentasi dimensi dalam satu pertunjukan silap mata ke tahun 2020. Di situ, mereka telah menempuhi pelbagai dugaan dan telah menyaksikan banyak pembaharuan yang telah berlaku di Malaysia. Kemajuan dalam sains dan teknologi serta kejayaan memupuk satu masyarakat penyayang telah diberi skop yang luas dalam cereka sains itu.

Apabila ditanya, Lui yang sekarang sedang menuntut di Tingkatan 5 Sains 1 telah berkata bahawa faktor utama yang mendorongnya menulis cereka tersebut ialah keinginan untk menebus kehampaan setelah gagal pada tahun lepas. Raymond, rakan sekelas Lui, pula ingin mencuba nasib dari menonjolkan bakat seta daya kreativitnya. Hasil gabungan usaha dan paduan imaginasi mereka telah membolehkan mereka memenangi tempat pertama dalam peraduan tersebut.

Comments

Popular Posts